Lelaki dipenjara 10 tahun, dua sebatan kerana rogol remaja bawah umur dikenali menerusi TikTok

Lelaki dipenjara 10 tahun, dua sebatan kerana rogol remaja bawah umur dikenali menerusi TikTok. /GAMBAR HIASAN

KOTA KINABALU, 27 Februari – Seorang lelaki Timur Leste dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana merogol seorang remaja bawah umur dikenalinya menerusi media sosial TikTok, tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki Timur Leste dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah merogol remaja bawah umur dikenali melalui TikTok.
  • Mangsa berusia 15 tahun sembilan bulan, dilaporkan hilang sebelum didapati telah dirogol di bilik sewa tertuduh pada 7 Disember.
  • Hukuman bermula dari tarikh tangkap 19 Dis, dan tertuduh akan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai hukuman.

Hakim Monica Linsua membuat keputusan itu selepas Rafinus Bata Tukan, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Monica memerintahkan tempoh penjara bermula daripada tarikh tangkap, iaitu 19 Disember tahun lepas dan lelaki itu dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai hukuman.

Menurut fakta kes, pada 7 Disember 2025 seorang individu membuat laporan polis tentang kehilangan anak perempuannya pada 6 Disember selepas dikatakan keluar mengikut tertuduh yang baharu dikenali sebulan melalui TikTok, dengan menaiki motosikal.

Mangsa yang berusia 15 tahun sembilan bulan semasa kejadian kemudian memberitahu bapanya bahawa lelaki itu telah merogolnya di bilik sewa tertuduh di Inanam pada kira-kira 7 malam 7 Dis.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shaferrah Mad Iskim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- BERNAMA