Musyawarah Nasional wadah muafakat bentuk masa depan negara

Pengerusi Musyawarah Nasional, Tan Sri Abdul Ghani Othman

KUALA LUMPUR, 27 Februari – Musyawarah Nasional ditubuhkan sebagai ruang muafakat strategik bagi menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam meneliti isu teras yang membentuk hala tuju bangsa dan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Musyawarah Nasional sebagai platform muafakat strategik untuk menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam merumus dasar negara.
  • Fokus kepada pembangunan insan, pemerkasaan ekonomi, pengukuhan institusi serta peningkatan kesejahteraan sosial secara menyeluruh.
  • Penyelarasan melalui sekretariat dengan pelan pelaksanaan jelas, garis masa dan ukuran kejayaan bagi tindakan berkesan.

Inisiatif itu berpaksikan pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, yang menekankan keperluan platform dialog berstruktur melibatkan tokoh masyarakat, ilmuwan, profesional, pemain industri serta wakil masyarakat sivil.

Pengerusi Musyawarah Nasional, Tan Sri Abdul Ghani Othman berkata inisiatif itu berteraskan semangat musyawarah sebagai budaya dialog beradab yang berpandukan fakta, rasionaliti serta tanggungjawab bersama dalam merumus penyelesaian terhadap cabaran semasa negara.

“Musyawarah Nasional diwujudkan sebagai ruang perundingan dasar yang menghimpunkan pelbagai pandangan bagi membina kesepakatan nasional serta menghasilkan cadangan yang praktikal dan boleh dilaksanakan demi masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, antara bidang tumpuan utama termasuk pembangunan insan dan pendidikan, pemerkasaan ekonomi, pengukuhan institusi masyarakat serta peningkatan kesejahteraan sosial secara menyeluruh.

“Pendekatan yang diambil bukan sekadar perbincangan, tetapi memberi penekanan kepada tindakan melalui pelan pelaksanaan yang jelas, garis masa terancang dan ukuran kejayaan yang boleh dinilai,” katanya.

Tambahnya, sebuah Sekretariat Musyawarah Nasional akan menyelaras agenda dialog, penyelidikan dasar, libat urus pemegang taruh serta pelaksanaan inisiatif rintis yang akan dinilai secara berkala.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap cadangan yang dihasilkan memberi manfaat nyata kepada masyarakat dan negara.

“Dalam dunia yang semakin mencabar, negara memerlukan ruang dialog matang dan konstruktif bagi memperkukuh persefahaman serta membina masa depan Malaysia yang lebih stabil, inklusif dan sejahtera,” katanya.