
KUALA LUMPUR, 26 Februari – Penggunaan walkie-talkie yang tidak diperakui berisiko mencetuskan gangguan mudarat terhadap perkhidmatan komunikasi kritikal negara.
- Walkie-talkie tidak diperakui berisiko mengganggu perkhidmatan komunikasi kritikal negara.
- Peranti mesti mematuhi kod teknikal dan standard yang ditetapkan.
- Peralatan tidak standard boleh menjejaskan operasi pasukan keselamatan, kecemasan, navigasi penerbangan dan maritim.
- MCMC menyita 314 unit walkie-talkie tidak diperakui antara 2021–2025.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, setiap peranti komunikasi itu diwajibkan mematuhi kod teknikal serta standard yang ditetapkan.
Jelas beliau, penggunaan peralatan yang tidak mematuhi spesifikasi boleh menjejaskan operasi penting negara.
“Ini termasuk yang digunakan pasukan keselamatan dan kecemasan serta perkhidmatan radio navigasi penerbangan dan maritim.
“Selain itu, kelengkapan yang tidak mematuhi standard turut menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna seperti renjatan elektrik dan kebakaran, khususnya semasa proses pengecasan,” katanya dalam sesi Kamar Khas di Parlimen.
Sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyita 314 unit walkie-talkie yang dipercayai tidak diperakui dan gagal mematuhi standard teknikal ditetapkan, dengan nilai keseluruhan sekitar RM24,682.