
MUAR, 26 Februari – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti laporan mengenai tujuh sekolah yang terkesan akibat kebakaran sebuah kilang penyimpanan getah dan plastik di Kawasan Perindustrian Sengkang, Kulai, Selasa lalu.
- KPM sedang meneliti laporan lengkap mengenai tujuh sekolah terkesan akibat kebakaran kilang penyimpanan getah dan plastik di Kulai.
- Semua sekolah terjejas kini menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sementara laporan diteliti.
- Penilaian terperinci akan dijalankan untuk mengenal pasti kerosakan infrastruktur, peralatan pengajaran dan isu keselamatan murid.
- Sebilangan pelajar melaporkan gejala ringan seperti sakit kepala, batuk, sakit mata dan sesak nafas akibat asap kebakaran.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata laporan lengkap berhubung insiden itu telah diterima, termasuk kesan kebakaran terhadap proses pendidikan di sekolah-sekolah berkenaan.
“Secara keseluruhannya, kita sudah pun dapat laporan berkaitan apa yang berlaku. Ketika ini, semua sekolah terjejas sedang menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Laporan berhubung kesan kebakaran ini diteliti dan tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya ketika ditemui media selepas Program Jaulah Ramadan Bersama Menteri Pendidikan 2026 Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar, Johor.
Beliau berkata penilaian terperinci akan dilakukan bagi memastikan sebarang kerosakan pada infrastruktur sekolah, peralatan pengajaran dan keselamatan murid dapat dikenal pasti dengan tepat.
Antara sekolah terjejas ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang melibatkan 153 pelajar dan 16 guru, SJKC Kulai Besar (1,345 pelajar, 71 guru) serta Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai (1,191 pelajar, 77 guru).
Turut terjejas, SK Taman Kota Kulai 2 (1,210 pelajar, 82 guru), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Kulai (1,020 pelajar, 71 guru), SMK Taman Putri (1,128 pelajar, 91 guru) dan Sekolah Agama Taman Kota Kulai.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata sebanyak 56 pelajar SK Taman Kota Kulai dan 24 pelajar SK Taman Kota Kulai 2 mengalami gejala ringan seperti sakit kepala, batuk, sakit mata dan sesak nafas akibat asap kebakaran.