
MILAN, 23 Februari – Amerika Syarikat (AS) menewaskan Kanada 2-1 untuk merangkul pingat emas hoki ais lelaki pada temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan-Cortina 2026, pada Ahad, sekali gus menjadi pingat terakhir dipertandingkan.
- AS menang 2-1 ke atas Kanada, menjaringkan gol kemenangan masa tambahan oleh Jack Hughes.
- Ini adalah kejuaraan Olimpik pertama AS dalam hoki ais sejak 1980.
- Matt Boldy membuka jaringan awal, sementara Cale Makar menyamakan untuk Kanada.
- Perlawanan berlanjutan ke masa tambahan tiga lawan tiga sebelum keputusan ditentukan.
Jack Hughes muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan, menghadiahkan AS kejuaraan Olimpik pertama sejak kejayaan bersejarah “Miracle on Ice” di Lake Placid 1980.
Perlawanan berintensiti tinggi itu bermula dengan sorakan penyokong Kanada yang memenuhi sebahagian besar stadium.
AS terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Matt Boldy pada suku pertama selepas memperdaya dua pertahanan lawan dan menewaskan penjaga gol Jordan Binnington.
Kanada menyamakan kedudukan pada suku kedua hasil jaringan Cale Makar yang menewaskan penjaga gol AS, Connor Hellebuyck, selepas 24 percubaan awal berjaya diselamatkan.
Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga perlawanan diheret ke masa tambahan tiga lawan tiga sebelum Hughes memastikan kemenangan dramatik buat AS, sekali gus mencetuskan kegembiraan dalam kalangan penyokongnya. – AFP