MDV perluas portfolio pembiayaan untuk bidang baharu berimpak tinggi

Ketua Pegawai Perniagaan MDV, Sharul Sazman Samaan

KUALA LUMPUR, 14 Februari – Malaysian Debt Ventures Berhad (MDV) komited untuk memperluaskan portfolio pembiayaannya meliputi sektor-sektor berimpak tinggi yang dipacu teknologi.

RINGKASAN BERITA AI
  • MDV meluaskan pembiayaan ke sektor berimpak tinggi seperti ICT, teknologi hijau dan bioteknologi.
  • Fokus kepada bidang strategik kurang diberi perhatian termasuk semikonduktor dan pengembangan pusat data.
  • Tingkatkan kebolehcapaian pembiayaan dan kerjasama strategik untuk sokong syarikat teknologi pelbagai peringkat.

Ketua Pegawai Perniagaan MDV, Sharul Sazman Samaan berkata, usaha itu selaras dengan keperluan pasaran dan agenda pembangunan negara.

Jelasnya peluasan itu merangkumi bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Teknologi Hijau, Bioteknologi serta teknologi baharu muncul dengan potensi pertumbuhan strategik.

“Antara bidang-bidang yang kurang diberi perhatian, namun penting ini termasuklah sektor yang menyokong rangka tindakan pembangunan negara, seperti pembangunan industri semikonduktor sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sektor elektrik dan elektronik.

”Selain itu, kami turut melihat potensi pengembangan pusat data, termasuk keseluruhan rangkaian sokongan dan ekosistem yang berkaitan,” katanya.

Tambahnya, peluasan portfolio itu turut memberi penekanan kepada bidang yang mempunyai kesan rantaian luas terhadap pembangunan industri seperti industri aeroangkasa, selaras aspirasi Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau menjelang 2030.

Bagi menyokong lebih banyak syarikat teknologi di pelbagai peringkat pertumbuhan, MDV turut menambah baik proses permohonan pembiayaan bagi meningkatkan kebolehcapaian, selain memperluas kerjasama strategik bersama institusi kewangan dan pelabur swasta.

Pada tahun kewangan 2026, MDV yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan nilai kelulusan pembiayaan berjumlah RM700 juta.