
NIBONG TEBAL, 12 Februari – Sumbangan sebanyak RM105,000 disalurkan kepada 21 masjid dan 63 surau di Parlimen Nibong Tebal bagi mengimarahkan sambutan bulan Ramadan di seluruh Parlimen itu.
- Fadhlina Sidek menyampaikan sumbangan Iftar MADANI di Masjid As-Solihin, Kampung Kepala Gajah.
- Setiap masjid terima RM2,000 manakala setiap surau terima RM1,000 untuk aktiviti Ramadan dan kebajikan.
- Peruntukan RM750,000 pada 2025 untuk naik taraf masjid dan surau termasuk karpet serta tandas baharu.
- Surau Al-Munauwwarah di tapak Masjid Taman Halaman Indah siap dan boleh digunakan semasa Ramadan.
Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Iftar MADANI di Masjid As-Solihin, Kampung Kepala Gajah, hari ini.
“Sumbangan RM2,000 bagi setiap masjid dan RM1,000 bagi setiap surau ini bertujuan untuk mengimarahkan sambutan bulan Ramadan yang bakal menjelang menerusi penganjuran pelbagai aktiviti ibadah dan kebajikan.
“Sebagai contoh, sepanjang tahun 2025, sebanyak RM750,000 telah diperuntukkan untuk tujuan naik taraf masjid dan surau di seluruh Parlimen Nibong Tebal.
“Kerja naik taraf yang telah siap termasuk pemasangan karpet baharu, penambahbaikan ruang solat dan tandas,” menurut kenyataan itu hari ini.
Surau sementara di tapak pembinaan Masjid Taman Halaman Indah, iaitu Surau Al-Munauwwarah, kini telah siap sepenuhnya dan sedia digunakan penduduk pada Ramadan ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ramli, serta pengerusi-pengerusi masjid dan surau di seluruh Parlimen Nibong Tebal.