Firefly kukuhkan piawaian keselamatan, IOSA diperbaharui hingga 2028

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 12 Februari -Syarikat penerbangan Firefly berjaya memperbaharui Pensijilan Audit Keselamatan Operasi (IOSA) dari Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) untuk tempoh dua tahun sehingga Februari 2028.

RINGKASAN BERITA AI
  • Firefly memperbaharui Pensijilan IOSA sehingga Februari 2028, menunjukkan komitmen berterusan terhadap piawaian keselamatan tinggi.
  • Pembaharuan susulan kejayaan audit Berasaskan Risiko (RBI) pertama, beralih kepada pendekatan audit IOSA yang lebih maju.
  • Penilaian merangkumi disiplin operasi utama; MAG menegaskan profesionalisme, disiplin dan komitmen kuat terhadap keselamatan.

Syarikat itu menerusi kenyataan memaklumkan, pelanjutan itu mencerminkan komitmen berterusan Firefly dalam mengekalkan piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan operasi bertaraf global yang tertinggi.

”Pembaharuan pendaftaran ini susulan kejayaan Firefly melengkapkan audit Berasaskan Risiko IOSA (RBI) yang pertama.

”Audit berkenaan menandakan pencapaian penting bagi Firefly apabila beralih daripada kaedah audit IOSA konvensional kepada pendekatan berasaskan risiko yang lebih maju,” jelasnya.

Audit RBI merupakan evolusi program IOSA yang memberi tumpuan kepada risiko keselamatan unik setiap syarikat penerbangan, berbanding rangka kerja audit seragam.

Penilaian itu merangkumi pelbagai disiplin operasi termasuk organisasi dan sistem pengurusan keselamatan, operasi penerbangan, kejuruteraan dan penyelenggaraan pesawat, operasi kabin dan kargo, selaras penanda aras global IATA.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Bryan Foong berkata, pembaharuan pendaftaran IOSA mencerminkan profesionalisme, disiplin dan kerja berpasukan yang ditunjukkan di seluruh organisasi, serta komitmen teguh terhadap keselamatan sebagai asas operasi.

”Kami akan terus memperkukuh sistem dan proses bagi memastikan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan berkualiti,” katanya dalam kenyataan sama.