
KUALA LUMPUR, 12 Februari- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan sembilan kontena dari Amerika Syarikat yang mengandungi bahan buangan terjadual (e-waste) lebih 195 tan dalam pemeriksaan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang dekat sini, pada Rabu.
- AKPS tahan sembilan kontena dari AS mengandungi e-waste lebih 195 tan di Pelabuhan Klang.
- Pemeriksaan melibatkan SPRM, SIRIM, PDRM, Lembaga Pelabuhan dan JAS Selangor.
- Tujuh kontena e-waste, satu bahan buangan terjadual, satu campuran plastik dan kertas, satu mesin industri.
- Kontena disimpan di kawasan selamat menunggu notis JAS untuk penghantaran semula dan tindakan penguatkuasaan diteruskan.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pemeriksaan itu dijalankan ke atas 10 kontena melibatkan anggota dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SIRIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
“Hasil pemeriksaan mendapati tujuh kontena berisi e-waste, satu kontena mengandungi bahan buangan terjadual, satu kontena campuran sampah plastik dan kertas, manakala satu lagi mengandungi mesin industri tanpa bahan terlarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ezanee menegaskan kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Kontena berkenaan akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada JAS Selangor dan JAS Pusat bagi tujuan penghantaran semula ke negara asal (re-export).
Beliau menambah AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa terlarang serta memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara.