Lokasi KAFA Khas OKU di Wilayah Persekutuan diumum dalam masa terdekat

Dr Zulkifli Hasan bercakap kepada media selepas menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

KUALA LUMPUR, 11 Februari – Lokasi bagi mewujudkan Sekolah Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) khas untuk anak-anak Orang Kelainan Upaya (OKU) di Wilayah Persekutuan telah dikenal pasti dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lokasi KAFA khas untuk anak OKU di Wilayah Persekutuan telah dikenal pasti dan akan diumumkan tidak lama lagi.
  • Inisiatif sebahagian Pelan Tindakan Agensi Agama Bagi OKU Muslim 2024–2028 untuk pelindungan hak dan kebajikan OKU.
  • Membutuhkan sokongan guru dan pengurusan serta pelaksanaan dijangka pada tahun ini.
  • JAWI digesa berinovasi dalam pendekatan agama; berkenaan pelancaran Kempen Islah MADANI dan Skuad MADANI Membantu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian langkah strategik dalam Pelan Tindakan Agensi Agama Bagi OKU Muslim 2024–2028 bagi memastikan kemudahan, kebajikan, kefahaman agama serta hak golongan berkenaan terus terpelihara.

“Ia memerlukan sokongan daripada keseluruhan ekosistem termasuk guru dan pengurusan. Insya-Allah kita boleh laksanakan pada tahun ini dan ia merupakan antara projek penting untuk memberikan akses pendidikan agama kepada warga OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di ibu negara.

Menurut beliau, warga agensi agama perlu lebih berdaya cipta dan inovatif dalam merangka pendekatan baharu bagi menangani pelbagai isu agama yang semakin kompleks dalam kalangan masyarakat.

Dalam majlis sama, turut dilancarkan Kempen Islah MADANI: Menghormati Ramadan dan Bijak Bersedekah serta Skuad MADANI Membantu peringkat JAWI.