
ALOR GAJAH, 10 Februari – Seramai 564 petugas haji akan berlepas secara berperingkat ke Tanah Suci mulai 9 April bagi musim haji 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
- Jumlah 564 petugas haji terdiri daripada 339 petugas kebajikan dan 225 petugas perubatan.
- Petugas akan menyantuni 31,600 jemaah haji Malaysia musim ini.
- Program pengukuhan bagi petugas baharu dan berpengalaman diadakan sebelum musim haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata mereka terdiri daripada 339 petugas kebajikan Tabung Haji (TH), anak syarikat serta agensi luar.
Manakala 225 lagi ialah petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia melibatkan doktor pakar, pegawai perubatan, ahli farmasi dan jururawat.
Kesemua petugas akan menyantuni 31,600 jemaah haji Malaysia bagi musim ini.
“Kumpulan kebajikan itu bukan hanya Tabung Haji, tetapi turut melibatkan jabatan dan agensi kerajaan serta institusi seperti Bank Islam. Kita juga ada perwakilan daripada sektor kesihatan termasuk doktor pakar dan ahli farmasi.
“Kursus ini adalah pengukuhan kepada petugas haji, sama ada yang baharu atau berpengalaman. Menariknya, ada juga pesara Tabung Haji yang kembali berkhidmat sebagai petugas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup Program Pengukuhan Menjelang Musim Haji 1447H/2026M di Kem Permata Resort, Alor Gajah.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadual bermula 18 April manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei depan.