
KUALA LUMPUR 9 Februari – Kerajaan bersetuju memperkenalkan elaun pertukaran dan perpindahan buat pertama kali kepada doktor kontrak yang menerima lantikan tetap di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2025.
- KKM perkenal elaun pertukaran dan perpindahan untuk doktor kontrak dilantik tetap mulai 2025.
- Elaun termasuk makan, lojing, tambang perjalanan, pengangkutan barang, pindahan dan belanja pelbagai.
- Tuntutan sehingga 100% untuk Semenanjung ke Sabah, Sarawak atau Labuan; 50% untuk pertukaran dalam wilayah sama.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata elaun berkenaan merangkumi tuntutan untuk makan, sewa hotel atau lojing, tambang perjalanan dan pengangkutan barang, pemberian pindahan, serta belanja pelbagai.
“Tuntutan dibenarkan sehingga 100 peratus bagi pertukaran antara Semenanjung ke Sabah, Sarawak atau Labuan, manakala pertukaran dalam Semenanjung atau dalam Sabah, Sarawak dan Labuan dihadkan kepada 50 peratus sahaja,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga menafikan dakwaan bahawa KKM memotong Bantuan Imbuhan Wilayah (BIW) susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Tiada pemotongan atau pengurangan elaun termasuk insentif wilayah. SSPA menetapkan kadar pegun bagi penerima sedia ada dan kadar baharu bagi pegawai baru berkelayakan, iaitu antara RM270 hingga RM960 sebulan,” jelasnya.
Pelaksanaan kadar BIW secara pegun ini bermula 1 Disember 2024, bertujuan memberi imbuhan tambahan kepada pegawai yang bertugas di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata semasa sesi penggulungan perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.