
MUAR, 8 Februari – Polis mengesan dua kejadian letupan kecil sepanjang operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di Ladang Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) Batu 13 dan 14, Air Hitam, di sini, yang kini memasuki hari kesembilan.
- Dua letupan kecil dikesan di Sektor D sepanjang operasi pemadaman kebakaran tanah gambut.
- Akses ke lokasi terhad kerana asap tebal dan struktur tanah gambut yang longgar serta tidak stabil.
- Operasi diteruskan dengan water bombing helikopter; orang awam dinasihatkan menjauhi kawasan dan patuhi arahan.
Insiden terbaharu dikesan di Sektor D kawasan kebakaran dan dipercayai berpunca daripada kebakaran tanah gambut yang masih aktif di bawah permukaan tanah.
Ketua Polis Daerah Muar, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, satu kejadian letupan turut pernah dilaporkan di sektor sama pada 3 Februari lalu, namun punca sebenar kedua-dua insiden berkenaan masih dalam siasatan.
Menurut beliau, siasatan di lokasi kejadian masih diteruskan, namun akses ke kawasan terlibat adalah terhad berikutan keadaan asap tebal serta struktur tanah gambut yang longgar dan tidak stabil.
“Keadaan ini menyukarkan pihak polis untuk mengenal pasti lokasi sebenar letupan serta menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Atas faktor keselamatan anggota dan orang awam, PDRM telah menutup sepenuhnya Sektor D kawasan kebakaran terbabit.
Sehubungan itu, operasi pemadaman kebakaran diteruskan menggunakan kaedah pemadaman udara atau water bombing dengan bantuan helikopter bagi mengawal kebakaran sepenuhnya serta meminimumkan risiko kepada petugas di lapangan.
PDRM akan terus memantau situasi semasa dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Orang awam dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan kejadian dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.