PNB belum putuskan tawaran pengambilalihan Sunway terhadap IJM

Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 6 FebruariPermodalan Nasional Bhd (PNB) masih belum membuat keputusan berhubung tawaran pengambilalihan sukarela oleh Sunway Bhd untuk memperoleh pegangan sahamnya dalam IJM Corporation Bhd.

RINGKASAN BERITA AI
  • PNB akan menilai tawaran Sunway berdasarkan pertimbangan komersial dan nilai intrinsik IJM.
  • PNB memiliki kurang daripada 13.5% pegangan IJM dan tiada pengaruh terhadap keputusan akhir.
  • Keputusan akan melalui penilaian dalaman menyeluruh dan kelulusan jawatankuasa pelaburan PNB.
  • Penasihat bebas IJM dijangka mengeluarkan nasihat selewat-lewatnya pada 16 Mac 2026.

PNB memaklumkan, tawaran itu akan dinilai berdasarkan pertimbangan komersial, termasuk pulangan pelaburan berasaskan nilai intrinsik serta potensi masa depan IJM, nilai tunai yang ditawarkan dan anggaran nilai masa depan saham pertukaran yang dicadangkan.

“PNB juga ingin menegaskan pihaknya memegang kurang daripada 13.5 peratus pegangan dalam IJM dan oleh itu tidak mempunyai pengaruh terhadap keputusan akhir tawaran pengambilalihan tersebut yang dibuat kepada semua pemegang saham IJM, memandangkan tawaran itu hanya akan berjaya sekiranya lebih daripada 50 peratus pemegang saham IJM menerima tawaran berkenaan,” jelas PNB dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

Jelas PNB, cadangan tersebut akan melalui penilaian dalaman yang menyeluruh sebelum dipertimbangkan dan diputuskan oleh jawatankuasa pelaburan lembaga pengarah PNB.

Langkah itu selaras dengan rangka kerja pelaburan yang ketat, berpandukan disiplin pelaburan dan tanggungjawab amanah serta tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang demi kepentingan semua pemegang unit amanahnya.

Menurut PNB, Sunway baru sahaja mengemukakan dokumen tawaran kepada semua pemegang saham IJM, manakala penasihat bebas yang dilantik oleh lembaga pengarah IJM dijangka mengeluarkan nasihat mereka selewat-lewatnya pada 16 Mac 2026.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen berkata, PNB akan menilai tawaran Sunway berdasarkan pertimbangan komersial, risiko tawaran, tadbir urus, pulangan pelaburan serta pelan strategik selepas pengambilalihan.

Beliau turut menegaskan, sebarang keputusan untuk menerima atau menolak tawaran itu akan dibuat secara bebas, tertakluk kepada proses tadbir urus PNB serta kelulusan dalaman yang berkaitan.

Pada 12 Januari lalu, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh keseluruhan 3.51 bilion saham IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham, melibatkan jumlah pertimbangan kira-kira RM11 bilion yang akan dilunaskan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu Sunway.

Tawaran pengambilalihan sukarela itu dijangka ditutup pada 6 April 2026.