Marquez muncul pelumba terpantas hari kedua ujian pramusim MotoGP 2026

Aksi pelumba BK8 Gresini Racing MotoGP, Alex Marquez pada hari kedua ujian pramusim MotoGP 2026 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini/ BERNAMA

SEPANG, 4 Februari – Pelumba BK8 Gresini Racing MotoGP, Alex Marquez mencuri tumpuan pada hari kedua ujian pramusim MotoGP 2026 di Litar Antarabangsa Sepang apabila muncul sebagai pelumba terpantas hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Alex Marquez muncul pelumba terpantas hari kedua ujian pramusim MotoGP 2026 di Sepang dengan masa 1:58.094.
  • Alex bangkit selepas kemalangan pagi, tetap cemerlang meskipun litar kering dan sesi petang hujan.
  • Kedudukan tiga terbaik: Alex Marquez, Marco Bezzecchi, Maverick Vinales; Bagnaia dan Di Giannantonio turut dalam lima terbaik.
  • Yamaha alami masalah teknikal; semua jentera tidak turun dan Fabio Quartararo pulang awal akibat kecederaan jari.

Pelumba berusia 29 tahun itu mencatat masa 1 minit 58.094 saat, mengatasi wakil Aprilia Racing, Marco Bezzecchi di tempat kedua manakala Maverick Vinales dari Red Bull KTM Tech3 melengkapkan kedudukan tiga terbaik.

Keputusan tersebut lebih bermakna selepas Marquez berdepan kemalangan di Selekoh Lima pada sesi latihan pagi, namun tetap bangkit menamatkan sesi di kedudukan ke-12 dalam keadaan litar kering, ketika pelumba pasukan Honda HRC Castrol, Joan Mir mencatat masa terpantas sesi berkenaan.

Hujan lebat yang melanda sesi petang menyebabkan beberapa pelumba tidak turun ke litar, namun Marquez memanfaatkan peluang sepenuhnya untuk mencatat masa terpantas hari kedua ujian.

Pelumba Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia dan Fabio Di Giannantonio dari Pertamina Enduro VR46 Racing Team melengkapkan kelompok lima terbaik keseluruhan.

Prestasi konsisten itu memberi gambaran awal peningkatan ketara jentera Gresini, selain menempatkan Marquez sebagai antara pencabar berpotensi menjelang musim MotoGP 2026.

Sementara itu, Yamaha terus bergelut dengan masalah teknikal apabila kesemua jentera mereka tidak beraksi pada hari kedua ujian, selain kehilangan Fabio Quartararo yang terpaksa pulang awal susulan kecederaan jari pada hari pertama.