
KUALA LUMPUR, 4 Februari – Pasaran ekuiti Malaysia diunjur kekal positif pada tahun ini disokong pertumbuhan ekonomi yang baik di sebalik ketidaktentuan luaran.
- Keyakinan terhadap asas ekonomi negara kekal kuat walaupun volatiliti pasaran berterusan.
- Pengukuhan ringgit dan dana denominasi ringgit memberi manfaat kepada pelabur tempatan.
- Peluang diversifikasi melalui dana ekuiti global berasaskan tema untuk pulangan jangka sederhana hingga panjang.
Pengarah Nomura Asset Management Malaysia Sdn Bhd, Atsushi Ichii berkata, walaupun turun naik pasaran dijangka berterusan, keyakinan terhadap asas ekonomi negara masih kekal, yang turut diterjemahkan menerusi pengukuhan ringgit.
Jelasnya, sebahagian besar dana di bawah pengurusan syarikat itu adalah dalam denominasi ringgit dan disokong oleh pelabur berasaskan ringgit.
”Nilai aset yang lebih baik dan potensi kos pendanaan yang lebih rendah boleh memberi manfaat kepada dana denominasi ringgit.
“Secara keseluruhan, memang masih ada naik turun pasaran. Tapi kalau pelabur bijak mengambil peluang dan melabur dalam pasaran, sudah tentu akan mendapat hasilnya. Secara keseluruhan, trend pertumbuhan masih ada dan dijangka berterusan,” katanya selepas Pelancaran Dana Ekuiti Global Pelbagai Tema oleh Nomura Asset Management Malaysia.
Dana ekuiti itu menyasarkan pertumbuhan modal jangka panjang melalui pelaburan dalam dana global berasaskan ekuiti pendekatan pelbagai tema.
Menerusinya, pelabur Malaysia berpeluang mempelbagaikan pendedahan pelaburan bagi menjana pulangan menarik dalam tempoh sederhana hingga panjang.