Terima suapan : Bekas pengurus jualan bank didenda RM210,000

Foto hiasan

AYER KEROH, 2 Januari – Seorang bekas pengurus jualan sebuah bank didenda RM210,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, selepas mengaku bersalah atas 20 pertuduhan menerima suapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Denda RM210,000 dijatuhkan selepas pengakuan bersalah atas 20 pertuduhan menerima suapan.
  • Suapan diberikan untuk membantu rujukan kes pinjaman perumahan kepada dua firma guaman.
  • Bayaran suapan antara RM880 hingga RM16,723 disalurkan melalui akaun adik perempuan dan akaun tertuduh.
  • Pertuduhan melibatkan perbuatan antara Mei 2018 hingga September 2022 di sebuah cawangan bank.

Perbuatan itu dilakukan sebagai balasan membantu rujukan kes berkaitan urusan pinjaman perumahan kepada dua firma guaman.

Tertuduh, Mohamad Faqih Mustapha, 37, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mahkamah mendapati tertuduh menerima antara RM880 hingga RM16,723 sebagai upah bagi dirinya selaku pengurus jualan bank berkenaan ketika itu, kerana membantu firma-firma guaman memperoleh rujukan kes melibatkan urusan pinjaman perumahan dengan sebuah bank.

Suapan itu disalurkan menerusi akaun bank adik perempuannya membabitkan 19 transaksi dan satu transaksi ke dalam akaun banknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Graha Peladang, Jalan Hang Tuah, antara Mei 2018 hingga September 2022 dan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 25(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork memohon hukuman denda minimum bagi setiap pertuduhan atas alasan kesalahan pertama serta tidak mempunyai pekerjaan tetap ketika ini.

Bagaimanapun, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM210,000 dan tertuduh membayar denda tersebut.