
ISKANDAR PUTERI, 2 Februari – Ketua Jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan dua gol awal pasukannya membuka ruang untuk mengawal tempo permainan selepas membelasah Imigresen FC 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
- Dua gol awal beri JDT kawal tempo permainan dan buka ruang serangan
- Hector Alejandro masuk sebagai pemain gantian dan laksana peranan taktikal dengan tepat
- Jaringan berganda Bergson dan sumbangan Marcos serta gol sendiri lawan perkuat kemenangan 5-0
- JDT fokus persiapan menentang Nam Dinh dalam Piala Shopee, jangkai perlawanan sengit
Beliau memuji impak Hector Alejandro yang dimasukkan sebagai pemain gantian dan menyifatkan pemain tengah itu memahami sepenuhnya peranan taktikal yang diinginkan pasukan.
“Hector mempunyai kapasiti yang semua orang tahu dan saya sangat menyukainya kerana dia faham dengan tepat apa yang kami mahukan daripadanya. Dia bermain untuk pasukan, bergerak dengan bijak ketika menguasai bola dan tanpa bola serta membaca permainan dengan baik,” katanya.
Menurut Munoz, Hector juga tahu bila perlu mara ke depan, mengekalkan penguasaan atau membantu perkembangan serangan mengikut situasi perlawanan.
Gol pertama JDT hadir pada minit ke-20 menerusi Joao Figueiredo yang menyempurnakan hantaran Alberto Diaz Martin.
Gol kedua terhasil pada minit ke-58 selepas pertahanan Imigresen FC, Vinicius Milani tertampan bola hantaran Yago Cesar ke gawang sendiri.
Penyerang Bergson da Silva menambah jaringan pada minit ke-60 dan 92 manakala Marcos Guilherme turut mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-66.
Fokus Harimau Selatan kini beralih kepada misi memburu tiga mata ketika menentang Nam Dinh dalam saingan Piala Shopee di Vietnam, Khamis ini.
Skuad kendalian Munoz telah menilai kekuatan lawan dan menjangkakan cabaran sengit daripada barisan pemain Vietnam yang pantas serta berintensiti tinggi.