KPT keluarkan garis panduan AI, perkasa integriti akademik

Timbalan Menteri KPT, Adam Adli/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Januari– Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengeluarkan garis panduan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan Generatif (KBG) bagi memastikan integriti akademik terus terpelihara serta penggunaan teknologi AI dilaksanakan secara bertanggungjawab dan beretika.

RINGKASAN BERITA AI
  • Garis panduan KPT untuk penggunaan AI generatif memastikan integriti akademik dan amalan bertanggungjawab dalam pendidikan tinggi.
  • AI dianggap alat sokongan pembelajaran, bukan pengganti kefahaman intelek dan kemahiran teras graduan.
  • Kurikulum dan pentaksiran diperkuatkan dengan penilaian autentik serta penglibatan industri bagi kemahiran praktikal dan etika kerja.

Timbalan Menteri KPT, Adam Adli berkata semua pusat pengajaran dan pembelajaran di universiti awam menggunakan garis panduan itu sebagai rujukan kepada pelajar serta kakitangan akademik dan bukan akademik dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, selaras usaha universiti menggalakkan pembelajaran digital serta kaedah kreatif dan inovatif.

“Dasar kementerian jelas bahawa penggunaan AI dalam institusi pendidikan tinggi berfungsi sebagai alat sokongan pembelajaran dan bukan pengganti kepada kefahaman intelek serta kemahiran teras graduan.”

“Kita juga telah memperkukuh reka bentuk kurikulum dan kaedah pentaksiran dengan memberi penekanan kefahaman aplikasi ilmu dan penyelesaian masalah sebenar melalui pentaksiran yang autentik seperti kajian kes industri, projek lapangan, simulasi, pembentangan lisan dan penilaian berdasarkan prestasi,” kata Adam Adli di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar.

Tambah beliau, penglibatan industri turut diperluas dalam pembangunan kurikulum, latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja, pembelajaran perkhidmatan serta pensijilan profesional bagi memastikan graduan memiliki kemahiran praktikal, etika kerja dan keupayaan yang tidak boleh digantikan oleh teknologi AI.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan