Pesawat terhempas: Ahli Parlimen Colombia antara 15 terkorban

Keadaan pesawat terhempas yang membawa Ahli Dewan Perwakilan Colombia, Diogenes Quintero (foto kecil)/ X ColombiaOscura

CÚCUTA, 29 Januari- Seramai 15 orang termasuk seorang Ahli Parlimen Colombia maut apabila sebuah pesawat terhempas di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Venezuela pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 15 orang termasuk seorang Ahli Parlimen maut dalam nahas pesawat di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Venezuela.
  • Pesawat Satena Beechcraft 1900 hilang hubungan sebelum mendarat di Ocana; punca nahas masih disiasat.
  • Usaha mencari dan pemulihan sukar; Presiden Petro menyampaikan ucapan dukacita kepada keluarga mangsa.

Pihak berkuasa penerbangan Colombia memaklumkan pesawat yang membawa 13 penumpang dan dua kru itu berlepas dari bandar sempadan Cúcuta sebelum terputus hubungan dengan kawalan trafik udara sejurus sebelum dijadual mendarat di Ocana sekitar tengah hari waktu tempatan.

Penerbangan berkenaan dikendalikan syarikat penerbangan milik kerajaan Colombia, Satena.

“Tiada mangsa terselamat,” menurut seorang pegawai pihak berkuasa penerbangan yang mengesahkan kejadian itu, sambil menjelaskan punca nahas masih dalam siasatan.

Gabenor wilayah North Santander, William Villamizar berkata setakat ini tujuh mayat telah ditemukan di lokasi nahas.

“Usaha mencari dan membawa keluar mangsa sedang diteruskan walaupun berdepan cabaran sukar,” katanya kepada majalah berita tempatan Semana.

Antara yang berada dalam pesawat itu ialah Ahli Dewan Perwakilan Colombia, Diogenes Quintero, 36, dan calon pilihan raya, Carlos Salcedo.

Presiden Colombia, Gustavo Petro, menzahirkan rasa dukacita atas kejadian tersebut.

“Saya amat dukacita dengan kehilangan nyawa ini dan menzahirkan solidariti sepenuhnya kepada keluarga semua mangsa,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Pesawat yang terlibat dikenal pasti sebagai Beechcraft 1900 dwi-kipas, jenis pesawat yang lazim digunakan bagi menghubungkan kawasan pedalaman di Colombia yang sukar diakses melalui jalan darat. -AFP