FIFA sahkan keputusan CAS tangguh penggantungan 7 pemain warisan

Foto FB FAM

KUALA LUMPUR, 28 Januari – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan penggantungan 12 bulan kepada tujuh pemain Harimau Malaya sudah pun ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta.

RINGKASAN BERITA AI
  • CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan bagi tujuh pemain warisan, membolehkan mereka beraksi semula sementara menunggu keputusan akhir.
  • FIFA mengesahkan penangguhan penggantungan 12 bulan itu dan memaklumkan kepada ahli bersekutu serta konfederasi untuk melaksanakannya segera.
  • FAM mengeluarkan kenyataan rasmi dan melampirkan surat FIFA yang ditandatangani Ketua Disiplin, Americo Espallargas.

Pengesahan itu dibuat selepas FIFA mengambil maklum mengenai keputusan Mahkamah Timbang Tara (CAS) yang menangguhkan penggantungan terhadap tujuh pemain berkenaan.

Perkembangan tersebut dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan rasmi yang turut berkongsi lampiran surat daripada FIFA.

“Dilampirkan adalah maklum balas daripada FIFA berkenaan keputusan CAS untuk membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan tujuh pemain pasukan kebangsaan iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.

“FIFA telah memaklumkan kepada ahli-ahli bersekutu dan konfederasi yang berkenaan untuk menangguh penggantungan terhadap tujuh pemain ini pada peringkat domestik dan benua secara serta-merta,” menurut FAM.

Lampiran surat daripada FIFA itu ditandatangani oleh Ketua Disiplin FIFA, Americo Espallargas.

Terdahulu, FAM memaklumkan bahawa CAS telah membenarkan tujuh pemain warisan terbabit yang sebelum ini digantung untuk kembali beraksi selepas permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan mereka diterima.

“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh FIFA terhadap tujuh pemain Harimau Malaya itu ditangguhkan buat sementara waktu.

“Mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat,” menurut kenyataan FAM.