GGR Motor dinobat Raja Drag EV Asia

Pasukan GGR Motor

KUALA LUMPUR, 28 Januari Pasukan GGR Motor mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Raja Drag EV Asia selepas merangkul lima piala keseluruhan pada perlumbaan ASEAN EV Drag International di Avenue Track, Bangkok, Ahad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • GGR Motor buktikan keupayaan jentera elektrik di pentas antarabangsa melalui dominasi kategori utama.
  • Kerja keras dan persiapan teknikal intensif pasukan hasilkan kejayaan besar di Bangkok.
  • Penguasaan penuh podium 100V tunjukkan kekuatan dan konsistensi kelajuan mereka.
  • Kemenangan Super Open jentik persaingan global, termasuk menewaskan pesaing dari AS.

Kejayaan berprestij itu menyaksikan GGR Motor menguasai kategori utama termasuk 100 volt (V), 130V dan Super Open, sekali gus membuktikan keupayaan serta daya saing jentera elektrik pasukan berkenaan di pentas antarabangsa.

Ketua Teknikal GGR Motor, Muhammad Fathi Mohamed Azmi menyatakan pencapaian tersebut adalah hasil kerja keras pasukan serta persiapan teknikal intensif yang dilaksanakan dalam tempoh singkat di Thailand.

“Alhamdulillah, GGR Motor Malaysia berjaya membawa pulang lima piala. Ini merupakan pencapaian besar bukan sahaja buat pasukan, malah kepada perkembangan industri EV drag Malaysia,” katanya.

Dalam perlumbaan itu, GGR Motor mendominasi sepenuhnya kategori 100V apabila menyapu bersih kedudukan tempat pertama, kedua dan ketiga, sekali gus menguasai keseluruhan podium.

Pasukan berkenaan turut menambah dua piala dalam kategori 130V menerusi tempat kedua dan ketiga, sebelum melengkapkan kejayaan dengan kemenangan dalam kategori Super Open, menewaskan pencabar dari Amerika Syarikat.