Bekas PTD didakwa terima RM145,000 hasil aktiviti haram

FOTO BERNAMA

SHAH ALAM, 23 Januari – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram bernilai RM145,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekas PTD Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan terima wang hasil aktiviti haram.
  • Jumlah wang yang didakwa diterima ialah RM115,000 dan RM30,000 dimasukkan ke akaun bank antara Feb 2024 dan Mei 2025.
  • Tertuduh didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dengan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda berat jika sabit.
  • Jaminan RM250,000 dengan dua penjamin dibenarkan; perlu lapor diri bulanan, serahkan pasport, kes disebut semula 30 Mac di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM115,000 dan RM30,000 yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank miliknya di sebuah cawangan bank, di Ampang Point, Ampang antara 2 Februari 2024 hingga 19 Mei 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Hakim Datuk Mohd Nasir kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin menggunakan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin seperti yang diputuskan oleh Hakim Azura Alwi semalam.

Hakim turut membenarkan syarat tambahan seperti diputuskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali pada minggu pertama setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat turut mencadangkan agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 9, Kuala Lumpur untuk dibicarakan sekali pada 30 Mac depan bagi menjimatkan masa selain berpandangan fakta kes yang hampir sama cuma berbeza akaun bank.

Hakim Datuk Mohd Nasir kemudian membenarkan cadangan tersebut dengan menetapkan sebutan semula kes pada 30 Mac di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan