
SHAH ALAM, 20 Januari – Beberapa kilang memproses sisa elektronik (e-waste) dipercayai beroperasi tanpa mematuhi peruntukan undang-undang pihak berkuasa.
- SPRM jalankan Op Nature serbu tujuh kilang e-waste di Selangor dan Negeri Sembilan suspek operasi tanpa permit sah.
- Kilang-kilang disyaki memproses, melebur dan mengedar e-waste tanpa mematuhi spesifikasi dan prosedur alam sekitar.
- Enam individu, pemilik dan orang tengah berusia 40–60 tahun ditahan reman untuk membantu siasatan.
- Siasatan mengesan transaksi sogokan RM2,000 hingga RM50,000; kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Maklumat awal mendapati kilang-kilang terbabit disyaki beroperasi tanpa permit atau lesen sah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selain gagal mengurus keseluruhan proses e-waste mengikut prosedur ditetapkan.
Turut dipercayai, wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pihak berkuasa tertentu berhubung pengoperasian kilang berkenaan.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan, pihaknya telah menjalankan serbuan ke atas enam kilang di Selangor dan sebuah kilang di Negeri Sembilan menerusi Op Nature.
Serbuan itu dilaksanakan secara serentak dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Bandaraya Diraja Klang bermula pukul 9.00 pagi tadi.
Kilang-kilang terbabit dipercayai menjalankan aktiviti melerai, memproses dan melebur e-waste diseludup tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan, selain terdapat kilang kitar semula yang disyaki beroperasi tanpa kelulusan sah.
Dalam operasi berkenaan, enam individu dipercayai pemilik syarikat dan orang tengah syarikat berusia lingkungan antara 40 hingga 60 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati wujud transaksi sogokan dianggarkan antara RM2,000 hingga RM50,000 agar tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, manakala tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan lengkap dijalankan.