
KUALA LUMPUR, 19 Januari – Seramai 500 pelajar berkeperluan pendidikan khas daripada 25 sekolah menengah sekitar Wilayah Persekutuan, di sini, menerima sumbangan berjumlah RM100,000, hari ini.
- Sumbangan RM200 setiap pelajar disalurkan melalui dana wakalah Sun Life Malaysia Takaful untuk sokong pendidikan dan kebajikan pelajar berkeperluan khas.
- Kerjasama strategik awam dan swasta ditekankan bagi memperkukuh usaha memastikan pendidikan inklusif untuk pelajar OKU terus terbela.
- MAIWP turut menyalurkan RM80,000 melalui dana wakalah untuk memperbaiki keselesaan surau sekolah menengah dan persekitaran pembelajaran.
Sumbangan RM200 bagi setiap pelajar itu disalurkan menerusi dana wakalah syarikat Sun Life Malaysia Takaful Berhad sebagai tanda komitmen syarikat korporat berkenaan terhadap pendidikan dan kebajikan pelajar kurang bernasib baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta menjadikan sumbangan yang disalurkan lebih kukuh, sekali gus memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak istimewa terus terbela.
Menurut beliau, dana wakalah zakat syarikat korporat mampu melengkapi usaha kerajaan dalam memperkasa sistem pendidikan yang lebih inklusif, termasuk untuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).
“Hanya melalui kerjasama secara kolektif, kita dapat memperkasa serta memperkukuhkan setiap sumbangan yang diberikan. Alhamdulillah, sokongan diterima daripada pelbagai sektor termasuk korporat, swasta dan kerajaan. Sehubungan itu, saya menegaskan kepentingan semua agensi untuk bergerak bersama secara kolektif dalam usaha membantu pihak yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sentuhan Kasih Sun Life Malaysia Takaful Berhad bersama Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), di ibu negara.
Sementara itu, sumbangan berjumlah RM80,000 menerusi dana wakalah MAIWP turut disalurkan kepada 26 buah surau sekolah menengah di sekitar Wilayah Persekutuan bagi meningkatkan keselesaan beribadah serta mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pembelajaran dan pembangunan sahsiah pelajar.
Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin, serta Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Takaful Berhad, Noor Azam Mohd Yusof.