Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.5 peratus tahun ini – HSBC

HSBC mengunjurkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan disokong oleh aliran masuk pelaburan yang berterusan/foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Januari – HSBC mengunjurkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dan berkembang sebanyak 4.5 peratus tahun ini disokong oleh aliran masuk pelaburan yang berterusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaburan infrastruktur kukuh menyokong kapasiti produktif negara.
  • FDI dijangka kekal kukuh menyokong pertumbuhan dan sektor elektronik.
  • Sektor semikonduktor dan permintaan berkaitan AI memberi manfaat kepada Malaysia.
  • Ringgit dijangka terus disokong oleh dasar kerajaan dan pemulangan pendapatan asing.

Ketua Ekonomi Asia HSBC, Frederic Neumann, berkata pelaburan infrastruktur yang kukuh di samping kitaran pelaburan langsung asing (FDI) yang menyumbang kepada kapasiti lebih produktif.

“Malaysia terus kekal kompetitif terutamanya dalam sektor elektronik dan rantaian bekalan semikonduktor yang menyaksikan negara ini meraih manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap elektronik yang sebahagiannya berkait rapat dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Sehubungan itu, kami kekal optimis mengenainya dan ini bermakna aliran masuk FDI akan terus kukuh bagi Malaysia,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai Tinjauan HSBC Asia 2026.

Sementara itu, Neumann berkata anggaran pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KDNK) negara pada 4.9 peratus pada 2025 menghampiri unjuran bank itu pada 5.0 peratus.

Mengulas mengenai ringgit, Ketua Penyelidikan FX Asia HSBC, Joey Chew menjangkakan mata wang tempatan akan terus mendapat sokongan tahun ini, walaupun kenaikan diramal berlaku secara beransur-ansur berbanding 2025.

Tambahnya, ringgit yang merupakan mata wang berprestasi terbaik tahun lepas, dipacu oleh dasar-dasar kerajaan termasuk langkah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membawa pulang pendapatan pelaburan asing.