Bekas eksekutif bank direman disyaki terima rasuah RM7,000

Tertuduh direman lima hari sehingga 23 Januari ini/Foto RTM Kedah

ALOR SETAR, 19 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas eksekutif bank selama lima hari bermula hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekas eksekutif bank direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan pembiayaan pembelian dron.
  • Suspek disyaki menerima kira-kira RM7,000 melalui pemindahan dalam talian antara RM1,000 hingga RM2,300 setiap permohonan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, penglibatan SPRM Kedah mengesahkan tangkapan.

Tahanan itu bagi membantu siasatan kes disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM7,000 sebagai balasan membantu mendapatkan pembiayaan pembelian dron.

Perintah reman sehingga 23 Januari dikeluarkan oleh Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024.

“Suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun peribadinya, dengan jumlah antara RM1,000 hingga RM2,300 bagi setiap permohonan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Nazli Rasyid Sulong, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.