
CALI, 14 Ogos – Sistem kesihatan di Cali kembali stabil empat hari selepas gempa bumi bermagnitud 7.5 melanda barat laut Colombia, dengan bandar itu kini melepasi fasa kecemasan paling kritikal dan hospital mula kembali beroperasi seperti biasa.
- Sekurang-kurangnya empat fasiliti perubatan ditutup akibat kerosakan, menyebabkan hospital lain beroperasi pada kapasiti maksimum.
- Klinik Nuestra Senora de los Remedios menerima kira-kira 130 pesakit, ramai memerlukan pembedahan dan rawatan rapi.
- Mangsa mengalami kecederaan anggota, patah tulang, terseliuh serta kecederaan kepala; Ana Zapata patah kaki kiri semasa menyelamatkan diri.
- Setiausaha Kesihatan mengesahkan bekalan ubat mencukupi, pesakit dibenarkan pulang, dan rawatan rutin serta pembedahan berjadual disambung secara berperingkat.
Sekurang-kurangnya empat fasiliti perubatan di bandar itu ditutup akibat kerosakan infrastruktur susulan gempa bumi yang melanda pada Isnin, menyebabkan hospital lain beroperasi pada kapasiti maksimum.
Klinik Nuestra Senora de los Remedios, antara fasiliti perubatan utama yang merawat mangsa gempa, telah menerima kira-kira 130 pesakit.
“Kami menerima pesakit dengan pelbagai keadaan. Ada yang mengalami kecederaan kritikal dan memerlukan pembedahan, selain ramai pesakit mengalami kecederaan anggota badan, patah tulang dan terseliuh serta kecederaan kepala.
“Kebanyakan mereka memerlukan pembedahan, manakala sebahagiannya memerlukan rawatan rapi,” kata Pengarah Perubatan klinik itu, Claudia Garcia.
Ana Zapata, seorang pesakit yang dibenarkan keluar selepas menjalani pembedahan pada Khamis, mengalami patah kaki kiri ketika cuba menyelamatkan diri daripada gempa.
“Gempa berlaku dengan sangat pantas. Saya mula menuruni tangga sebelum terjatuh dan terguling. Orang lain turut jatuh menimpa saya. Jadi, saya mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan, terutama kaki,” katanya.
Ketika tekanan terhadap perkhidmatan kecemasan perubatan semakin berkurangan, Cali akan mula memulihkan secara berperingkat perkhidmatan kesihatan rutin yang sebelum ini digantung.
Setiausaha Kesihatan Cali, German Escobar Morales, berkata bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan kini mencukupi.
“Perkhidmatan perubatan kami kini sudah stabil. Ramai pesakit telah berjaya dibenarkan pulang dan kembali ke rumah.
“Saya percaya kami sudah melepasi fasa awal rawatan yang paling kritikal. Kami juga menunggu gegaran susulan reda dan keadaan menjadi lebih selamat supaya perkhidmatan yang sebelum ini digantung, termasuk rawatan pesakit luar dan pembedahan berjadual, dapat disambung secara berperingkat,” katanya.- REUTERS