
TEMERLOH, 15 Ogos – Dua mangsa maut dalam nahas kereta dihempap lori tangki bahan api dan terbakar di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, petang semalam, dikenal pasti sebagai seorang wanita berusia 39 tahun dan anak lelakinya berumur 12 tahun.
- Lori tangki membawa 32,000 liter diesel dan petrol dipercayai hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan dan menghempap kenderaan, kedua-dua kenderaan terbakar.
- Keadaan kereta remuk dan kebakaran melibatkan bahan api menyebabkan operasi pemadaman mengambil masa.
- Pemandu lori berjaya menyelamatkan diri dengan cedera ringan dan akan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bahron berkata, keluarga mangsa sudah tampil memberikan keterangan kepada pihak polis, namun pengesahan identiti perlu dibuat menerusi perbandingan DNA waris.
“Bedah siasat kedua-dua mangsa dijadualkan pagi ini di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh,” katanya.
Terdahulu beliau memaklumkan, siasatan awal mendapati lori tangki yang membawa 32,000 liter diesel dan petrol dari Seremban, Negeri Sembilan menghala ke Temerloh.
“Pemandu lori tangki tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan menghempap kereta mangsa.
“Kedua-dua kenderaan kemudian terbakar, bagaimanapun pemandu lori berumur 37 tahun berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami cedera ringan,” katanya.
ACP Mohd Nasyim berkata, keadaan kereta yang remuk dan kebakaran melibatkan bahan api menyebabkan operasi pemadaman mengambil masa.
Beliau turut mengesahkan, pemandu lori tangki berkenaan akan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.