Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan terus kepada murid dan pelajar, pastikan kesan segera dan bermakna

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Aminuddin Hassim (tiga, kiri) pada  majlis penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2026 di Labuan

LABUAN, 16 Januari – Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) secara bersemuka, bukan sahaja memastikan bantuan sampai kepada murid, malah mengukuhkan hubungan sekolah dan ibu bapa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyerahan bersemuka mengukuhkan hubungan antara sekolah, guru dan ibu bapa melalui interaksi langsung untuk sokongan kemenjadian pelajar.
  • Pemberian tunai terus kepada murid memastikan bantuan memberi kesan segera dan murid merasai sokongan kerajaan terhadap pendidikan mereka.
  • Usaha ini menggalakkan penglibatan aktif semua pihak dalam memikul tanggungjawab bersama bagi pembangunan dan kesejahteraan pelajar.

Ini menerusi interaksi langsung bagi menyokong kemenjadian pelajar, sekali gus menjadi wadah dalam memperkukuh kepercayaan antara sekolah dan ibu bapa.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata usaha tersebut turut menggalakkan penglibatan aktif semua pihak dalam mendukung tanggungjawab bersama terhadap pembangunan murid.

“Apabila anak-anak ini ditemani oleh ibu bapa, mereka boleh bertanya terus kepada guru-guru mengenai hal-hal yang berkaitan dengan kemenjadian anak masing-masing. Begitu juga dengan keperluan mereka.”

“Ini sebenarnya akan memberikan keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka akan melalui sistem persekolahan yang lebih baik dan mendapat maklum balas terus daripada guru-guru,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan BAP kepada murid sekolah rendah dan menengah, di Labuan.

Menurut Datuk Dr. Aminuddin, penyaluran BAP telah bermula minggu ini, dengan bantuan diserahkan secara tunai terus kepada murid dan pelajar bagi memastikan ia memberi kesan segera dan bermakna.

“Kami menggunakan kaedah penyerahan tunai terus kepada murid dan pelajar, bukannya melalui akaun bank, kerana mahu mereka sendiri merasai bantuan ini serta memahami bahawa kerajaan menyokong pendidikan mereka,”katanya.

Kementerian Pendidikan (KPM) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang akan memberi manfaat kepada 5.2 juta murid dan pelajar di seluruh negara.

Bantuan berjumlah RM150 bagi setiap murid itu bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan asas persekolahan seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis, khususnya pada permulaan sesi akademik.

Di Labuan, seramai 19,001 murid menerima BAP melibatkan peruntukan sebanyak RM2.7 juta, merangkumi murid sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.