Pusat Pengalaman AI dan Robotik, pemangkin ekosistem teknologi negara

Foto RTM

SHAH ALAM, 13 Januari -Penubuhan Pusat Pengalaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Robotik mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem AI negara, selain membuka ruang pembelajaran teknologi kepada masyarakat secara lebih dekat dan interaktif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat pengalaman AI dan robotik sebagai pemangkin pembangunan ekosistem AI negara dan sokongan pengkomersialan teknologi.
  • Menyediakan peluang pembelajaran interaktif khususnya untuk kanak-kanak dan meningkatkan minat bidang STEM.
  • Teknologi mesti memberi manfaat kepada rakyat; kerjasama kerajaan dan sektor swasta penting untuk skala nasional.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pusat berkenaan bukan sahaja mempamerkan keupayaan AI dan robotik, malah memberi peluang kepada orang ramai, terutamanya kanak-kanak, memahami serta mendalami bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut beliau, walaupun teknologi robotik itu belum menyamai sepenuhnya kemahiran manusia, ia membuktikan AI mampu melaksanakan pelbagai tugas yang sebelum ini hanya dilakukan oleh manusia.

“Pusat ini sangat sesuai dijadikan destinasi pembelajaran dan rekreasi keluarga. Ia bukan sahaja menyeronokkan, malah mampu mencetuskan minat dan rasa ingin tahu terhadap bidang STEM, yang penting untuk masa depan negara,” beliau bercakap kepada pemberita semasa lawatan AI World Experience I-City Shah Alam.

Sementara itu, dalam pembangunan industri, Chang Lih Kang berkata, Pusat Pengalaman AI itu berupaya menyokong pembangunan serta pengkomersialan teknologi robotik dan AI di Malaysia, selari dengan usaha kerajaan memperkukuh ekonomi berteraskan inovasi.

Beliau turut menekankan, pembangunan teknologi perlu berfokuskan rakyat dan memberi manfaat secara langsung, bukan sekadar mempamerkan kecanggihan.

“Tidak guna teknologi yang terlalu canggih jika rakyat tidak dapat menggunakannya atau merasai manfaatnya. Pusat seperti ini menunjukkan bagaimana AI dan robotik boleh membantu serta memudahkan kehidupan seharian,”katanya.

Dalam pada itu, Chang Lih Kang mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam memperluas penubuhan pusat pengalaman seumpama ini di seluruh negara, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan semata-mata.

Beliau percaya, kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta mampu mempercepat pembangunan ekosistem AI dan robotik, selain menyokong pertumbuhan industri pelancongan teknologi di Malaysia.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan