PM ucap selamat kembali ke sekolah buat semua pelajar

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Januari– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • PM Anwar mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar di seluruh negara.
  • Ucapan khas ditujukan kepada murid Tahun Satu yang memulakan langkah pertama ke sekolah.
  • Beliau mengingatkan ibu bapa mengiringi pendidikan anak dengan doa dan teladan yang baik.
  • Kalendar akademik SK dan Sekolah Bantuan Kerajaan kembali bermula Januari selepas peralihan sejak 2022.

Ucapan itu dinyatakan menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau, khususnya buat murid Tahun Satu yang memulakan langkah pertama ke alam persekolahan.

“Selamat kembali ke sekolah buat anak-anak, khususnya murid Tahun 1 yang memulakan langkah pertama ke alam persekolahan bersama cita-cita dan harapan,” kata Datuk Seri Anwar.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar mengiringi perjalanan pendidikan anak masing-masing dengan doa dan teladan yang baik.

“Buat ibu bapa, iringlah perjalanan anak-anak dengan doa dan teladan yang baik. Semoga setiap ilmu dan nilai yang dipelajari membentuk mereka menjadi insan berakhlak, berilmu dan menyumbang kepada masa depan negara. Insya-Allah,” jelasnya.

Kalendar akademik bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Bantuan Kerajaan kembali bermula pada Januari tahun ini selepas berlaku peralihan sejak 2022 susulan pandemik COVID-19.

Sesi persekolahan bagi Kumpulan B iaitu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermula hari ini manakala bagi Kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula semalam (11 Januari).