
ASHGABAT, 20 Jun– PETRONAS menerusi anak syarikat milik penuhnya Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd (PC(T)SB), meraikan tiga dekad operasinya di Turkmenistan dengan memeterai beberapa perjanjian baharu.
- PC(T)SB mendapat kepentingan 100% dalam PSA Blok Luar Pesisir 19 dan 20, menandakan kemasukan PETRONAS ke kawasan eksplorasi baharu.
- Perjanjian Rangka Kerja jangka panjang membuka peluang pembangunan Medan Galkynysh dan kerjasama hiliran antara Malaysia dan Turkmenistan.
- Majlis pemeteraian disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Serdar Berdimuhamedov, menandakan sokongan politik tinggi.
Ia melibatkan kerjasama dengan State Concern Turkmennebit dan State Enterprise Hazarnebit yang bakal memperkukuh kehadirannya di Laut Kaspia.
PETRONAS dalam satu kenyataan memaklumkan, kerjasama baharu itu merangkumi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) bagi Blok Luar Pesisir 19 dan 20.
Ia juga meliputi perjanjian kerjasama bagi kajian seismik 2D untuk blok luar pesisir utara.
“Di bawah PSA tersebut, PC(T)SB akan memperoleh kepentingan penyertaan 100 peratus dalam Blok 19 dan 20, sekali gus menandakan kemasukan PETRONAS ke kawasan eksplorasi baharu di Turkmenistan.
Perjanjian berkenaan mencerminkan komitmen bersama untuk membuka peluang baharu menyokong kedudukan Turkmenistan sebagai penyumbang penting bekalan tenaga serantau dan global,” menurut kenyataan itu.
Majlis pemeteraian perjanjian tersebut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara itu.
Selain itu, Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama Jangka Panjang bagi Pembangunan Sumber Hidrokarbon Turkmenistan turut dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Turkmenistan.
Ia bakal membuka peluang kerjasama lebih luas termasuk pembangunan Medan Galkynysh, antara medan gas terbesar dunia, serta potensi dalam sektor hiliran.
Ketua Pegawai Operasi PETRONAS merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Mohd Jukris Abdul Wahab berkata, firma itu komited untuk terus bekerjasama dengan rakan strategiknya dalam membangunkan sumber tenaga secara bertanggungjawab.
Selain itu, memperkukuh daya tahan tenaga serta menjana nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan.
PETRONAS telah beroperasi di Turkmenistan sejak 1996 dan kekal sebagai antara pelabur asing utama dalam sektor minyak dan gas negara itu.