Industri automotif perlahan pada Mei, jualan dijangka pulih Jun – MAA

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Jun Industri automotif Malaysia merekodkan penurunan 15 peratus dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 61,250 unit pada Mei 2026, berbanding 72,113 unit pada April lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan dua bulan berturut-turut bagi industri automotif berakhir pada Mei.
  • Penurunan Mei terutama disebabkan tempoh cuti perayaan panjang termasuk Hari Raya Aidiladha, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
  • Pengeluaran kenderaan susut 13%; pengeluaran kenderaan penumpang turun 13% dan kenderaan komersial turun 20%.
  • MAA menjangkakan prestasi jualan akan kembali pulih pada bulan Jun selepas kelembapan Mei.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan, penurunan itu sekali gus menamatkan trend pertumbuhan yang dicatatkan selama dua bulan berturut-turut.

“Penurunan TIV pada Mei 2026 terutama disebabkan oleh tempoh cuti perayaan yang panjang, termasuk Hari Raya Aidiladha, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa sama, jumlah pengeluaran kenderaan turut susut 13 peratus kepada 57,489 unit, berbanding 66,354 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

“Pengeluaran kenderaan penumpang (PV) menyusut 13 peratus kepada 54,535 unit, manakala pengeluaran kenderaan komersial (CV) turun 20 peratus kepada 2,954 unit,” menurut kenyataan sama.

Dari segi jualan pula, sebanyak 61,250 unit kenderaan direkodkan pada Mei 2026, berbanding 69,607 unit pada bulan sama tahun lalu, mencatatkan penurunan 12 peratus.

“Jualan kenderaan penumpang turun 11 peratus kepada 57,360 unit, manakala jualan kenderaan komersial mencatat penurunan lebih ketara sebanyak 26 peratus kepada 3,890 unit,” jelas MAA lagi.

Bagaimanapun, bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, jumlah jualan kenderaan kekal stabil pada 315,568 unit berbanding 319,846 unit dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu penurunan satu peratus.

MAA menjangkakan prestasi jualan kenderaan akan kembali memperoleh momentumnya pada bulan ini selepas mengalami kelembapan pada Mei.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.