
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merekodkan 4.9 juta pergerakan penumpang pada Mei 2026, termasuk 3.6 juta penumpang antarabangsa, meningkat 2 peratus berbanding Mei 2025.
- Prestasi trafik antarabangsa mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau melalui kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Perkhidmatan harian baru Hainan Airlines Chongqing ke Kuala Lumpur mula 16 Mei, meluaskan akses pelancong dari China.
- MAHB menegaskan kepentingan memperluas hubungan udara strategik untuk menyokong pertumbuhan pelancongan dan kebolehcapaian negara.
- Beberapa penambahbaikan kemudahan siap pada Mei termasuk pemodenan kaunter Miri dan Limbang serta perluasan zon e-hailing Langkawi.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan memaklumkan, prestasi itu mencerminkan pertumbuhan berterusan trafik antarabangsa sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau utama menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Di seluruh rangkaian Malaysia Airports, jumlah pergerakan penumpang mencecah 7.9 juta sepanjang bulan berkenaan, disokong oleh hubungan penerbangan antarabangsa yang terus berkembang.
“Hubungan serantau turut diperkukuh pada Mei dengan pelancaran perkhidmatan harian baharu Hainan Airlines antara Chongqing dan Kuala Lumpur yang bermula pada 16 Mei lalu.
“Laluan berkenaan dijangka memperluaskan lagi akses pelancong dari China, yang merupakan antara pasaran sumber pelancongan utama Malaysia di bawah kempen TMM2026,” menurut MAHB.
Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Izani Ghani memaklumkan, pengenalan perkhidmatan terus berkenaan membuktikan kepentingan memperluas hubungan udara strategik kedua-dua negara berkenaan.
Ini terutamanya bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan serta meningkatkan kebolehcapaian Malaysia kepada pelancong antarabangsa.
Dalam pada itu, beberapa penambahbaikan kemudahan penumpang turut disiapkan sepanjang Mei, termasuk pemodenan kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Miri dan Limbang, peluasan zon pengambilan e-hailing di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi serta penyempurnaan fasa pertama kerja naik taraf tandas di Lapangan Terbang Subang.
Sementara itu, aset antarabangsa milik penuh Malaysia Airports, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) di Turkiye, merekodkan 4.1 juta penumpang pada Mei lalu meningkat 10.8 peratus berbanding April.