
SERDANG, 20 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) melancarkan aplikasi digital ‘MyAgriniti’ bagi membantu komuniti penternak ayam kampung meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi.
- Program UniMADANI memperkasa komuniti luar bandar melalui inovasi digital dan pembangunan sistem penternakan mampan, cekap dan berdaya saing.
- MyAgriniti menghubungkan teknologi, ilmu penternakan dan keperluan sebenar penternak di lapangan.
- Modul aplikasi meliputi pengurusan pemakanan, kawalan penyakit dan biosekuriti, rekod kewangan, pemasaran dan pengurusan sisa menjadi baja.
- Latihan komuniti ajar penghasilan dedak kos rendah dan baja organik, bantu kurangkan kos, tingkatkan produktiviti serta buka peluang ekonomi baharu.
Inisiatif di bawah program UniMADANI Kementerian Kewangan Malaysia itu bertujuan memperkasa komuniti luar bandar menerusi penerapan inovasi digital dan pembangunan sistem penternakan yang lebih mampan, cekap serta berdaya saing.
Pengarah ITAFoS UPM, Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin berkata, pembangunan aplikasi itu membuktikan komitmen universiti dalam membawa hasil penyelidikan makmal terus kepada masyarakat.
“MyAgriniti merupakan platform yang menghubungkan teknologi, ilmu penternakan dan keperluan sebenar penternak di lapangan,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Projek MyAgriniti Dr. Aida Zakaria berkata, aplikasi berkenaan menyediakan pelbagai modul penting termasuk pengurusan pemakanan ternakan, kawalan penyakit dan biosekuriti, rekod kewangan, pemasaran hasil serta pengurusan sisa menjadi baja kompos.
Beliau berkata, pendekatan ekosistem komuniti itu turut memberi latihan kepada peserta untuk menghasilkan dedak ayam menggunakan formulasi kos rendah selain memanfaatkan sisa ternakan bagi penghasilan baja organik.
“Melalui aplikasi ini, penternak bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi melalui penghasilan dedak sendiri, malah mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam pasaran,” katanya sambil menambah ia sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Dalam pada itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Tazley Nik Nordin berkata, kolaborasi antara universiti dan komuniti itu perlu diperluaskan kerana memberi impak langsung dalam membuka peluang ekonomi baharu kepada penternak kecil di kawasan kampung.
Pendapat sama turut disuarakan Ketua Kampung Rinching Hulu, Semenyih, Samsudin Zainal yang menyifatkan program itu sebagai langkah tepat untuk membantu penduduk mengatasi kekangan ilmu dan kos bagi mengembangkan usaha penternakan mereka.
Bagi seorang penduduk Kampung Pasir Baru, Semenyih, Zulhazmi Abdul Rahman, program pemindahan ilmu dan teknologi seperti itu amat membantu golongan yang baru berkecimpung dalam bidang berkenaan untuk memahami kaedah penternakan yang lebih berkesan.