AKPS KLIA rampas ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM10,000

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 9 Januari -Sebanyak 2,000 biji ubat-ubatan tidak berdaftar dianggarkan bernilai RM10,000 dirampas, di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • AKPS KLIA merampas 2,000 tablet Diazepam 10mg yang disyaki bukan keluaran berdaftar dan mengandungi bahan psikotropik.
  • Ubat dirampas untuk siasatan dan tindakan di bawah peraturan kawalan dadah, kosmetik, racun dan Akta Jualan Dadah 1952.
  • AKPS menegaskan komitmen memperketat kawalan pintu masuk negara bagi membendung ubat tidak berdaftar dan menjaga keselamatan awam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya merampas satu bungkusan mengandungi ubat-ubatan tidak berdaftar disyaki mengandungi bahan psikotropik susulan pemeriksaan pada 11.00 pagi.

“Hasil pemeriksaan terperinci mendapati bungkusan berkenaan mengandungi 2,000 biji tablet Diazepam 10mg (jenama Valium) yang disyaki bukan keluaran berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ia turut disyaki mengandungi bahan psikotropik yang disenaraikan di bawah Jadual Ketiga, Akta Racun 1952,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan kesemua ubat-ubatan tersebut telah dirampas bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut di bawah Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 30(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, serta boleh di hukum di bawah Seksyen 12(1), Akta Jualan Dadah 1952.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Peraturan 4(1), Peraturan-Peraturan Racun (Bahan Psikotropik) 1989 dan Seksyen 30, Akta Racun 1952.

“AKPS KLIA menegaskan komitmen berterusan dalam memperketat kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi membendung kemasukan ubat-ubatan tidak berdaftar serta melindungi keselamatan dan kesihatan awam,” menurut kenyataan itu lagi.