Datuk Mohamad Zainal dilantik Pengarah Pengurusan PDRM

Datuk Mohamad Zainal Abdullah (kanan) menggantikan Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid (kiri) yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR, 15 September – Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkuat kuasa hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menggantikan Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid yang kini menggalas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara.
  • Pelantikan disempurnakan dalam majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana pangkat yang disaksikan Ketua Polis Negara di Pulapol.
  • Mempunyai latar akademik dan pengalaman luas: Harvard Business School, Ijazah Sarjana Undang-Undang UiTM, Sarjana Sumber Manusia UPM, lebih 20 tahun.

Beliau menggantikan Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

Pelantikan beliau disempurnakan dalam Majlis Serah Terima Tugas dan Pemakaian Lencana Pangkat yang disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Datuk Mohamad Zainal, yang berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak sejak September tahun lepas, merupakan graduan program pengurusan lanjutan Harvard Business School dan memiliki latar belakang akademik yang luas, termasuk Ijazah Sarjana Undang-Undang daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Sarjana Sumber Manusia daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Ketua Penolong Pengarah D5 (Pendakwaan/Undang-Undang) JSJ Bukit Aman serta Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan Perak Tengah.

Dalam majlis sama, Datuk Seri Abdul Aziz turut menerima dokumen serah terima tugas jawatan nombor dua PDRM itu daripada Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ibrahim Darus, selepas pelantikannya yang berkuat kuasa 9 September lalu diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Tan Sri Mohd Khalid percaya, gabungan antara muka baharu dengan lama dapat memastikan kesinambungan dan kelestarian penugasan dalam PDRM.

“Saya percaya Datuk Seri Aziz akan dapat memikul tanggungjawab dan amanah yang lebih baik pada masa yang akan datang. Pada masa yang sama, Datuk Zainal akan memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Pengurusan, jadi beliau juga mempunyai pengalaman yang luas berkhidmat lebih daripada 20 tahun dalam pasukan.

“Jadi sinergi orang baharu dan orang lama ini, saya rasa begitu penting bagi memastikan kelestarian, kesinambungan, penugasan di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia itu dapat berterusan dengan baik dan sempurna,” kata Tan Sri Mohd Khalid dalam sidang media selepas majlis berkenaan.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas bagi jawatan Setiausaha Polis Malaysia Bukit Aman kepada Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Selangor, SAC Mohammad Mashdik Yahya dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) berkuat kuasa 12 Oktober depan.

Pada majlis sama, berlangsung pemakaian pangkat kepada 25 pegawai kanan PDRM yang baharu dinaikkan pangkat.

Majlis turut menyaksikan serah terima tugas Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia kepada Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim dan Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan kepada Datin Dr Nitce Isa Medina Machmudi Isa yang disaksikan Pengerusi PERKEP Malaysia Puan Sri Munirah Che Rose.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.