
SHAH ALAM, 9 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menggerakkan Op Kesan 5.0 di peringkat peruncit dengan fokus utama kepada barangan Jualan Back To School.
- Op Kesan 5.0 fokus pemeriksaan peruncit terhadap barangan Jualan Back To School di seluruh Selangor.
- Operasi bertujuan memastikan pematuhan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 oleh peniaga.
- Op dilancar selari pelarasan gaji penjawat awam melalui SSPA Fasa 2 bermula 1 Januari 2026.
- 34 premis telah diarahkan menyerahkan maklumat harga dan kos barangan untuk siasatan.
- KPDN akan ambil tindakan tegas; denda dan hukuman penjara boleh dikenakan terhadap pencatutan.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, dalam satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan di seluruh Selangor bertujuan memantau dan memastikan pematuhan peniaga dan industri terhadap perundangan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Jelas beliau, Op Kesan 5.0 dilaksanakan sejajar dengan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 yang berkuat kuasa bermula 1 Januari 2026.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 34 premis dikenakan notis oleh KPDN Selangor bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan harga dan kos barangan dalam Op Kesan 5.0 yang digerakkan sejak 1 Januari lalu.
“KPDN akan mengambil tindakan tegas sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan, individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.
“Manakala bagi syarikat, denda sehingga RM500,000.00 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Op Kesan 5.0 ini adalah sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR dalam menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan.
Pihak KPDN Selangor turut menggalakkan pengguna Selangor yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti manipulasi harga untuk menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat melalui saluran aduan rasmi KPDN.