
KUCHING, 9 Januari – Jumlah Pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak meningkat kepada 15 setakat pukul 4.00 petang hari ini yang menempatkan 1,172 penduduk terjejas di negeri itu.
- Jumlah PPS meningkat kepada 15 menempatkan 1,172 penduduk terjejas setakat 4.00 petang.
- Trend pemindahan meningkat kerana banjir masih berterusan di beberapa bahagian negeri.
- Siburan mencatatkan jumlah penduduk terjejas paling ramai iaitu 666 ditempatkan di enam PPS.
- Beberapa PPS baharu dibuka di Serian dan Sibu untuk menempatkan mangsa banjir.
- APM Sarawak memantau situasi dan menasihatkan penduduk kawasan berisiko sentiasa berhati-hati.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak memaklumkan, trend pemindahan penduduk terjejas banjir menunjukkan peningkatan susulan keadaan banjir yang masih berterusan di beberapa bahagian negeri.
Di Miri, PPS Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berkenu telah ditutup secara rasmi pada pukul 3.00 petang setelah keadaan beransur pulih.
Sementara itu, di Bau, dua PPS mencatat peningkatan jumlah penduduk terjejas iaitu PPS Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mongag, Krokong yang menempatkan 93 penduduk terjejas manakala PPS Dewan Serbaguna Kampung Blimbin, Krokong menempatkan 78 penduduk terjejas.
Di Serian, dua PPS baharu dibuka melibatkan PPS Dewan Baru Kampung Rimba Padi yang menempatkan 60 penduduk terjejas, manakala bilangan penduduk terjejas di PPS Dewan Sri Tok Nan masih dalam proses kemas kini.
Manakala Daerah Siburan mencatatkan bilangan penduduk terjejas paling ramai iaitu 666 yang ditempatkan di enam PPS.
Daripada pecahan itu 248 berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah, PPS Dewan Taman Duranda Emas (189), PPS Dewan Serbaguna Kg Lintang Baru (119), PPS SK St Peter Simpok (55), Dewan Serbaguna Kampung Kerumboi (29) dan PPS Balai Raya Kampung Betong Kanowit (26).
Turut direkodkan dua PPS di Samarahan iaitu PPS SK Endap dengan 206 penduduk terjejas, dan PPS Dewan Suarah yang menempatkan 13 penduduk terjejas.
Di Simunjan pula PPS Dewan Mesra Simunjan menempatkan 37 penduduk terjejas. Di Daerah gedong pula, 13 penduduk terjejas berlindung di PPS Dewan Masyrakat Gedong manakala di Sibu, PPS Dewan Kampung Jeriah yang dibuka hari ini menempatkan enam penduduk terjejas.
APM Sarawak akan terus memantau situasi banjir dan menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.