Tiga jabatan utama perburuhan digabung, tingkat penyampaian perkhidmatan

PUTRAJAYA, 7 Januari – Kementerian Sumber Manusia akan menggabungkan tiga jabatan utama perburuhan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan penguatkuasaan undang-undang buruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gabungan Jabatan Tenaga Kerja, Hal Ehwal Kesatuan dan Perhubungan Perusahaan untuk penyelarasan fungsi yang saling berkaitan.
  • Meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan penguatkuasaan undang-undang buruh di bawah struktur pentadbiran bersepadu.
  • Memudahkan perkongsian sumber manusia dan kepakaran, termasuk pengoperasian Mahkamah Buruh dan Mahkamah Buruh Bergerak.

Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan memaklumkan, ia melibatkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Jelasnya, penggabungan itu dibuat kerana fungsi ketiga-tiga jabatan berkenaan saling berkait dan berada dalam rantaian isu yang sama serta memerlukan satu penyelarasan bawah satu struktur pentadbiran yang lebih bersepadu.

“Ia merangkumi satu rantaian. Jadi, secara secara tidak langsung, kita membawa sebuah keluarga kecil dan menjadikannya sebuah keluarga besar,” katanya.

Beliau menyatakannya selepas mengadakan kunjungan hormat dan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Putrajaya.

Tambahnya lagi, langkah itu juga bagi menangani kekangan sumber manusia khususnya kekurangan pegawai penguat kuasa tenaga kerja.

Setakat ini hanya terdapat kira-kira 300 pegawai penguat kuasa JTKSM di Semenanjung dan dianggarkan 100 lagi di Sabah dan Sarawak.

Justeru, penggabungan itu membolehkan perkongsian tenaga kerja dan kepakaran, termasuk dalam pengoperasian Mahkamah Buruh termasuk Mahkamah Buruh Bergerak, selain mengurangkan keperluan rundingan berasingan antara jabatan bagi isu sama.