LANGKAWI, 11 November -Jumlah korban tragedi bot karam yang membawa pendatang tanpa izin di perairan sempadan Thailand–Malaysia meningkat kepada 16 orang.
- Jumlah korban bot karam meningkat kepada 16 orang selepas empat lagi mayat ditemukan dalam operasi SAR.
- Mayat ditemukan di beberapa lokasi: Pulau Beras Basah, perairan Tanjung Chincin dan Tanjung Belua.
- Operasi SAR melibatkan 130 pegawai dan anggota serta 11 aset dari pelbagai agensi penyelamat.
- Agensi terlibat termasuk Maritim Malaysia, PDRM, TLDM, Pasukan Polis Marin, JBPM dan APM.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, empat lagi mayat ditemukan hari ini hasil operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diteruskan sejak awal pagi.
Menurutnya, pada pukul 10.40 pagi, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan satu mayat lelaki dewasa berhampiran Pulau Beras Basah.
“Kapal Maritim KM Siangin turut menemukan dua lagi mayat di perairan Tanjung Chincin.
Masing-masing melibatkan seorang kanak-kanak lelaki dan seorang individu yang masih belum dikenal pasti identiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, sekitar 11.20 pagi, sebuah bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaporkan penemuan satu lagi mayat kanak-kanak lelaki di kawasan Tanjung Belua.
Mayat berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis selepas dibawa ke Jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Beliau memaklumkan, radius kawasan pencarian kini diperluas kepada 272.78 batu nautika persegi, melibatkan 130 pegawai dan anggota dengan kekuatan 11 aset daripada pelbagai agensi penyelamat.
Antara agensi yang terlibat termasuk Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), TLDM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).