DOHA, 20 November- Juara bertahan Piala Dunia, Perancis tidak akan menggantikan Karim Benzema yang cedera dalam skuad tersebut kata jurulatih Didier Deschamps.
Benzema diketepikan selepas mengalami kecederaan peha kiri pada sesi latihan semalam.
Situasi tersebut merupakan tamparan buat skuad tersebut dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi ketika di Rusia pada tahun 2018.
(Aksi Karim Benzema mewakili Perancis ketika Kejohanan Liga Negara-Negara UEFA /AFP)
Deschamps berkata dia tidak akan memanggil pengganti penyerang Real Madrid itu walaupun peraturan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) membenarkan pasukan Perancis berbuat demikian.
Menurut jurulatih tersebut, meskipun ketiadaan Benzema merencatkan sedikit perancangan pasukan,dia tetap yakin dengan kualiti yang ada pada skuad 'Les Blues'.
"kami mempunyai skuad berkualiti dengan pemain yang tahu apa yang menanti mereka. Saya mempunyai keyakinan terhadap mereka," katanya kepada media TF1 Perancis.
Sementara itu, Benzema mengumumkan penarikan dirinya dalam skuad Perancis melalui instagram peribadinya.
"Saya tidak pernah berputus asa dalam hidup saya. Namun saya harus fikirkan kebaikan buat pasukan. Terima kasih untuk kata-kata semangat yang dikirim", jelasnya.
Persiapan pasukan Perancis sebelum ini telah dilanda masalah dengan beberapa pemain dilanda kecederaan.
Deschamps sebelum ini yakin Benzema sempat pulih sebelum perlawanan pertama peringkat kumpulan terpaksa menerima hakikat kecederaan Benzema tidak membenarkannya beraksi buat skuad Perancis pada kejohanan Piala Dunia kali ini.
Pada kejohanan kali ini, Perancis diundi bersama-sama Australia,Denmark dan Tunisia didalam kumpulan D.-AFP