Iran gantung pelaksanaan komitmen MoU, dakwa AS langgar perjanjian

Foto REUTERS

TEHRAN, 19 Julai -Iran mengumumkan telah menghentikan pelaksanaan komitmennya di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) Keamanan dengan Amerika Syarikat (AS), susulan tindakan Washington yang didakwa melanggar perjanjian berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemimpin Tertinggi Khamenei sifatkan tandatangan Presiden AS tidak bernilai dan tuduh Amerika Syarikat penipu serta tidak boleh dipercayai.
  • Iran dan barisan penentang memberi amaran akan memberikan pengajaran yang tidak akan dilupakan jika AS mencetuskan peperangan.
  • AS lancarkan siri serangan udara ke wilayah selatan Iran; Iran membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron ke pangkalan AS.
  • Kementerian Kesihatan Iran lapor 50 maut dan lebih 500 cedera akibat serangan AS sejak 27 Jun.

Timbalan Menteri Luar Iran bagi Hal Ehwal Undang-Undang dan Antarabangsa, Kazem Gharibabadi, menegaskan bahawa AS telah melanggar serta menggantung “kesemua komitmennya” di bawah MoU tersebut, sekali gus menutup ruang buat sebarang rundingan pada masa ini.

“Fokus kami kini adalah untuk mempertahankan negara secara tegas. Tindakan agresif AS tidak akan membawa sebarang hasil, dan sekiranya mereka bijak, mereka perlu mencari jalan penyelesaian yang lain,” katanya dalam satu temu bual bersama stesen televisyen rasmi IRIB, pada Sabtu.

Susulan perkembangan itu, Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, menyatakan bahawa pelanggaran komitmen oleh AS sekali lagi membuktikan bahawa tandatangan Presiden AS, Donald Trump, adalah tidak bernilai dan tidak sah.

Dalam satu perutusan kepada rakyat Iran, beliau menyifatkan insiden berkenaan sebagai bukti jelas mengenai penipuan serta sifat AS yang tidak boleh dipercayai.

“Pengalaman pahit melibatkan jenayah dan mungkir janji ini merupakan satu lagi bukti kukuh mengenai pembohongan AS serta sifatnya yang tidak logik, tidak boleh dipercayai dan jahat,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa Iran dan “barisan penentang” (resistance front) sedia memberikan “pengajaran yang tidak akan dilupakan” sekiranya AS terus mencetuskan peperangan.

Ketegangan di rantau berkenaan semakin memuncak minggu lalu apabila AS melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas tapak tentera dan infrastruktur di wilayah selatan Iran.

AS mendakwa serangan itu bertujuan mengurangkan keupayaan Iran dalam mengancam laluan perkapalan komersial di Selat Hormuz.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan pangkalan serta kemudahan tentera AS di beberapa buah negara Teluk dan Jordan.

Pada Sabtu, Kuwait dan Bahrain mengesahkan sistem pertahanan udara mereka berjaya memintas serangan udara baharu dari Iran, namun sebuah fasiliti minyak utama serta loji janakuasa dan penyahasinan air di Kuwait dilaporkan terjejas.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Kementerian Kesihatan Iran, Hossein Kermanpour, menerusi hantaran di media sosial memaklumkan seramai 50 orang terkorban manakala lebih 500 yang lain cedera dalam serangan AS ke atas Iran sejak 27 Jun lalu. Mangsa yang terkorban termasuk lima wanita dan dua kanak-kanak.

Iran dan AS sebelum ini menandatangani MoU berkenaan pada 18 Jun lalu bagi menamatkan konflik di seluruh rantau berkenaan, termasuk di Lubnan. Di bawah memorandum tersebut, kedua-dua pihak dijadualkan mengadakan rundingan bagi mencapai perjanjian akhir dalam tempoh 60 hari.

Bagaimanapun, proses rundingan dilaporkan tergendala ekoran pertikaian berterusan mengenai Selat Hormuz serta gelombang serangan terbaharu kedua-dua pihak. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.