Konflik Asia barat: AS lancar serangan balas susulan kematian anggota tentera

Foto REUTERS

WASHINGTON, 19 Julai – Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara baharu terhadap beberapa sasaran di Iran susulan insiden serangan yang mengorbankan dua anggota tentera negara itu serta menyebabkan seorang lagi hilang di Jordan baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • CENTCOM berkata serangan dilaksanakan atas arahan Presiden Trump berkuat kuasa pukul 6 petang waktu tempatan Sabtu.
  • Operasi dirancang untuk melumpuhkan keupayaan Tehran yang didakwa mengancam laluan pelayaran komersial di Selat Hormuz.
  • Serangan turut bertujuan menghukum pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang didakwa mendalangi serangan di Jordan.
  • Pemimpin tertinggi Iran Mojtaba Khamenei menyifatkan perjanjian bertulis Trump tidak bernilai dan memberi amaran implikasi lebih buruk.

Markas Pusat Pemerintahan Amerika Syarikat (CENTCOM) dalam satu kenyataan memaklumkan, serangan udara terbaharu itu dilaksanakan atas arahan Presiden Donald Trump berkuat kuasa pukul 6 petang waktu tempatan pada Sabtu.

“Operasi ketenteraan itu dirancang khusus bagi melumpuhkan keupayaan Tehran yang didakwa mengancam laluan pelayaran komersial di Selat Hormuz.

“Selain itu, serangan berkenaan turut bertujuan untuk menghukum pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang didakwa mendalangi serangan di Jordan”, menurut CENTCOM dalam kenyataan.

Agensi berita Iran, Mehr memaklumkan Amerika Syarikat (AS) menyasarkan serangan berhampiran Sirik di selatan Iran.

Namun agensi berkenaan menyatakan tiada sebarang kemalangan jiwa dan kemusnahan infrastuktur dilaporkan.

Sementara itu, Pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei menerusi kenyataan rasmi di media sosial menyifatkan sebarang perjanjian dan komitmen bertulis pentadbiran Trump sebagai “langsung tidak bernilai dan hilang kredibiliti,”.

Menerusi kenyataan itu, beliau turut memberi amaran mengenai implikasi lebih buruk yang bakal dihadapi Amerika Syarikat kelak.

Amerika Syarikat dan Iran dilaporkan berbalas serangan sejak perjanjian damai sementara yang dimeterai bulan lepas terbatal minggu lalu. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.