
SEREMBAN, 19 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meluluskan 19 permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang diterima sejak semalam.
- Semua permohonan permit ceramah diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.
- PDRM akan memantau ceramah dan program politik untuk memastikan pematuhan undang-undang serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
- Polis tingkatkan kesiapsiagaan, penguatkuasaan tegas terhadap pelanggaran serta menasihatkan orang ramai menghormati proses demokrasi dan memberi kerjasama.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, semua permohonan itu diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata, polis akan terus memantau setiap ceramah dan program politik bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
“Secara keseluruhannya, situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses PRN Negeri Sembilan ke-16 ketika ini berada pada tahap baik dan terkawal.
“Setakat ini, polis hanya menerima satu laporan dan tiada kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, PDRM akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.
“Sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi dan memberi kerjasama kepada PDRM bagi memastikan PRN Negeri Sembilan berlangsung dalam keadaan aman, selamat dan teratur.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh undi awal berlangsung pada 28 Julai ini.