fb fb fb fb fb

Tiada keperluan doktor pengiring khas pantau tahap kesihatan Azizulhasni

KUALA LUMPUR, 30 Januari - Tiada keperluan untuk membawa doktor pengiring khas memantau tahap kesihatan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam kejohanan disertai tahun ini.

Perkara itu memandangkan, khidmat pegawai perubatan dari Institut Sukan Negara (ISN) sudah mencukupi.

Menurut Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia Datuk Amarjit Singh Gill pegawai perubatan ISN mampu memantau rapi atlet itu yang dijadual mengharungi jadual padat dalam misinya memburu tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau optimis Datuk Azizulhasni sihat dan mampu untuk beraksi dan sekiranya tidak, doktor pastinya tidak memberi lampu hijau kepadanya untuk menyertai perlumbaan Austral di Melbourne, Australia, Disember lepas. 

Pemenang pingat perak acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu bakal menempuh jadual padat dengan menyertai tiga siri kejohanan Piala Negara-Negara yang menawarkan mata kelayakan Olimpik.

‘The Pocket Rocketman’ menjalani pembedahan April tahun lepas susulan masalah jantung yang jarang ditemui.

(FOTO FAIL)

Media Baharu