Sokongan kepada AS di Selat Hormuz dianggap perang – Iran

Foto REUTERS

TEHRAN, 14 Julai – Iran memberi amaran keras kepada negara-negara serantau bahawa sebarang bentuk kerjasama logistik dengan tentera Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz akan dianggap sebagai tindakan perang terhadap Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ebrahim Zolfaghari: jika konflik merebak, api peperangan akan menjejaskan semua negara di rantau.
  • AS dipersalahkan menjejaskan keselamatan wilayah, perdagangan antarabangsa, dan laluan kapal tangki minyak.
  • Angkatan tentera Iran dalam kesiapsiagaan penuh untuk bertindak balas terhadap sebarang campur tangan asing.
  • Di Washington, Trump umum semula sekatan maritim, larang kapal Iran dan cadang caj 20 peratus ke atas kargo.

Jurucakap Markas Pusat Khatam al-Anbiya, Ebrahim Zolfaghari dalam satu mesej video yang disiarkan media tempatan menegaskan, sekiranya berlaku penularan konflik, “api peperangan” tersebut akan turut mengheret dan menjejaskan semua negara di rantau berkenaan.

Beliau menyifatkan tindakan melampau AS di laluan strategik itu telah menjejaskan keselamatan rantau, perdagangan antarabangsa, serta laluan kapal tangki minyak secara serius.

“Kami tidak akan membenarkan AS campur tangan dalam pengurusan Selat Hormuz,” katanya sambil menambah bahawa angkatan tentera Iran kini berada dalam kesiapsiagaan penuh untuk bertindak balas.

Sementara itu, agensi berita separa rasmi Tasnim melaporkan jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, Hossein Mohebbi, berkata tindakan campur tangan AS di Selat Hormuz menjejaskan keselamatan bekalan minyak dan gas dunia.

“Kami akan terus menguatkuasakan kedaulatan dan pengurusan kami ke atas Selat Hormuz dengan tegas, serta memaksa pihak asing dan sekutu mereka tunduk kepada kehendak rakyat Iran,” katanya.

Di Washington, Presiden AS Donald Trump menerusi perkongsian di platform Truth Social mengumumkan bahawa AS akan melaksanakan semula sekatan maritim bagi menghalang kapal-kapal Iran daripada memasuki atau keluar dari selat berkenaan.

Trump turut mendakwa AS akan bertindak sebagai “penjaga” Selat Hormuz dan merancang untuk mengenakan caj sebanyak 20 peratus ke atas semua kargo yang melalui laluan air itu atas dasar “keadilan”. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.