fb fb fb fb fb

Tatkala KDA FC masih membisu, DSAT GROUP ditawar bantu Sabah FC

Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek

ALOR SETAR, 7 November - Syarikat Konglomerat DSAT Group Sdn Bhd, masih belum menerima apa-apa maklum balas daripada Darul Aman Football Club Sdn Bhd (DAFCSB) berhubung tawarannya untuk mengambil alih pengurusan syarikat itu sekaligus menjadi pemilik pasukan Liga Super, KDA FC.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group Datuk Seri Azizul Tandek berkata, pihaknya masih menantikan jawapan daripada pengurusan KDA FC khususnya Pemilik Majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar selepas surat tawaran pengambilalihan dihantar kepada KDA FC pada Ahad lalu.

Beliau berkata pihaknya serius untuk mengambil alih KDA FC bagi memastikan masalah hutang yang membelenggu pasukan dapat diselesaikan.

Ia sekali gus dapat menaikkan semula semangat pemain dan pegawai pasukan itu untuk terus memberikan saingan dalam kancah Liga Super ketika ini dan saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada hujung bulan ini.

"Saya berharap pihak pengurusan KDA FC dapat mempertimbangkan tawaran pengambilalihan tersebut demi kelangsungan pasukan Sang Kenari," katanya ketika dihubungi RTM, di sini.

Dalam pada itu, Azizul turut memaklumkan pihaknya menerima tawaran secara tidak rasmi daripada pengurusan Sabah FC untuk membantu pasukan itu.

Beliau yang juga anak kelahiran Tawau, Sabah berkata tawaran tersebut disuarakan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

"DSAT Group berbesar hati dan mengalu-alukan tawaran berkenaan. DSAT akan menerima tawaran daripada SAFA yang juga pemegang taruh 100% SABAH FC sekiranya ianya benar diberikan kepada DSAT GROUP.

"Dengan menerima berita ini, saya telah mengarahkan anak syarikat DSAT Group Sdn Bhd iaitu Bumi Handal Sdn Bhd melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Mohd Jaffry Rosman untuk mengambil tindakan susulan surat tawaran daripada SAFA dalam masa terdekat untuk tindakan serta merta DSAT," katanya.

TETITIA YUSOFF