fb fb fb fb fb

Sukan Universiti Asean (AUG) 2026: Malaysia sedia jadi tuan rumah

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud/Foto RTM

SURABAYA, 25 Jun-Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedia untuk jadi tuan rumah bagi penganjuran temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2026.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata Jemaah Menteri pada Khamis lepas telah meluluskan perkara tersebut.

Namun keputusan akhir sama ada Malaysia dipilih atau tidak akan ditentukan dalam dalam mesyuarat teknikal Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) di Surabaya hari ini.

Jika dipilih, Malaysia katanya komited untuk memastikan fasiliti dan kelengkapan venue ditambah baik.

"Kita mahu pastikan Malaysia supaya menjadi tarikan pelancongan ASEAN dan dunia", katanya yang ditemui selepas sesi beramah mesra bersama kontinjen negara yang akan beraksi di AUG 2024 di sini.

Malaysia sebelum ini sudah tiga kali menganjurkan AUG iaitu pada 1984, 1993 dan 2008.

Sementara itu, skuad Petanque negara menyasarkan dua pingat emas pada temasya kali ini menerusi dua acara iaitu acara beregu dan individu wanita.

Ketua jurulatihnya, Mohd Noriszam Abu Bakar berkata, dua pemain berpengalaman Sharifah Afiqah dan Syed Fakhri antara sandaran utama.

Kedua-duanya pernah membuat penampilan ketika Sukan SEA 2022 dan 2023.

"Kita ada atlet yang sudah ada pengalaman beraksi di AUG.Kita juga ada atlet baharu. Kita ada potensi untuk menang kali ini",katanya.

Dalam edisi kali ini, tuan rumah menambah dua lagi kategori dalam acara Petanque yang menjadikan 11 acara secara keseluruhan.

Justeru, beliau yakin anak buahnya mampu merealisasikan sasaran tersebut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD